titis embun

titis embun

Sunday, June 20, 2010

cuba mencari makna.



cuba mencari makna,
balik kerdip mata-mata yang tampak celik padahal buta,
cuba mengusung harapan di balik tubuh-tubuh tua,
yang pekiknya menggelar wakil kita,
padahal hamburan katanya diisi dusta nista,
di bawahnya mendengar tapi melopong, ternga-nganga melahir setia konon demi bangsa agama tercinta,
tanpa sedar fikrahnya disumbat dilumur tahi-tahi yang maha jijik,

cuba mencari makna,
balik harapan yang pudar warnanya,
tentang kereta mewah yang garang dan rumah besar berpintu cengal lagi mahal,
tentang pangkat dan maruah,
dimomok mulia dan tinggi,
sedangkan hakikatnyanya khinzir yang dipegang haram,
di makan haram, lebih dipandang tinggi oleh tuhan,
dari peludah-peludah janji panji keji,

cuba mencari makna,
dari jalan-jalan hitam yang belendir hijau,
mengharum kebusukan sisa-sia manusia,
tentang erti kehidupan yang menghimpun segenap pelakon-pelakon sundal,
pengarah-pengarah sial yang tersenyum di perdu derita manusia-manusia polos,
mencungkil makna sebenar sisi-sisi kehidupan yang di candui keindahan-keindahan palsu,
dicampak jauh-jauh erti pahit dan derita,
apakah munkin dapat melarikan diri dari bayang-bayangnya sendiri?

cuba mancari makna,
di hutan konkrit yang pokoknya tinggi-tinggi mencakar menguris merobek dada luas langit biru malamnya hitam,
berkelip-kelip lampu di penjuru yang paling atas,
membisik arah buat burung-burung besi yang terbangnya penuh dengan kemegahan dan keangkuhan yang tak bisa engkau capai,
jauh melewati sang pengembara yang mengintai jauh,
hingga kini masih mencari makna,

ya,
cuba mencari makna,
lagi,
lag,
lagi,
lagi,
dan lagi..


*aku ingin benar mencari makna itu.

Saturday, June 12, 2010

demi negaraku


salam,

dalam sekali pandang,
waktu pagi,
jalan-jalan kota penuh sesak,
deretan kereta menjadi sajian mata,
kelihatan juga motor-motor kecil menyelit-nyelit,
antara ruang dan kesempatan,

wah~
barangkali -ini tanda tanah airku
semakin maju..


mereka ini,
masing-masing menggalas nawaitu,
antara tanggungjawab dan tugas,
antara kelaparan dan kekenyangan
antara masa depan dan kemewahan,
dan pastinya wang menjadi tarikan.

malangnya,
bukan semua jerat mendatangkan hasil,
kadangkala mendung,
kadangkala terik,
jangan sesekali dilupa,
rezeki itu milik Tuhan,
dan,
kudrat itu masih lagi diperah,
walaupun kadangkala perit ingin menyerah kalah,
itulah sisi-sisi roda kehidupan.

lagi malang,
masih ada insan yang berhati batu,
dengan irama bergelodak ingin maju,
isi negara ini jadi taruhan,
pelbagai model ekonomi di rangka,
macam-macam subsidi di gula-gula,
akhirnya cukai tinggi tetap akan dilaksanakan.

Aku yang kerdil ingin bertanya,
adakah harga barang akan turut naik sama,
atau akan semakin rendah nilainya,
atau rakyat akan tenteram mendengarnya,

ah~
langkah ini perlu,
demi kesejahteraan tanah airku,


munkin ini jawab mereka dibalik,
Mercedes 2 pintu,
dari susuk-susuk kot hitam dan biru,
sekali lagi,
rakyat dipaksa akur diam membisu,
demi kesejahteraan tanah airku


*simpanlah derai air matamu,
padamkan api kemarahanmu,
selagi kamu,
tunduk tanda setuju!

(4.05am.april3.2010)

Friday, June 11, 2010

pentas marhaen.


dengarlah,
suara halus yang bergetar
bawah terik panas matahari,
dilambung ombak ganas mengacah diri,
bau hanyir ditubuh mereka,
merupakan wangian rezeki,
itulah harapan untuk anak bini,
bukan sekadar minta disubsidi.

pandanglah,
sebujur tubuh tua,
berhimpun uban yang menjalar liar,
kedut menghiasi ceruk wajah lesu,
acap membersih debu yang melekat dibadan,
menarik cebis kain usang pengusir angin salju,
meminta-minta sekelumit simpati,
dari tetamu kaki lima,
pun bisa mengetahui erti derita.

hidulah,
bau-bau hancing kotoran,
memenuhi sesak di sepanjang lorong,
tompok lendir hijau yang menggelikan,
tatkala tikus-tikus berkejaran,
seraut wajah bocah mencari baki botol dan
suratkhabar menongkat keperluan yang hilang,
dimanakah keadilanya?

singkaplah,
gelap pagi,
tatkala matahari malu-malu berdiri,
sedang kita enak dibuai mimpi
didakap asyik lena manja,
kelibat mereka telahpun hilang di ekor mata,
menoreh susu putih,
sambil ketar-ketar jari,
menahan sejuk pagi,
demi sesuap nasi.

renunglah,
seorang pemuda,
memegang erat punggung lori,
mengesat-ngesat mata,
kemerahan-merahan dilanggar angin laju,
bau busuk sampah tidak lagsung dihiraukan,
lain pula kenderaan di belakang,
pedal minyak segera ditekan,
pantas memencil diri,
dalam hati kecil ini berkata,
'sampai bila kamu begini wahai pemuda?'

singahlah,
di persimpangan jalan,
berbumbungkan zink karat,
bertemankan tong gas hijau,
debu jalanan kadangkala menguji kerongkong,
tangan yang lusuh berurat-urat,
tak pernah lupa,
menyimpul plastik kuih,
melipat kemas dedaun pisang,
dan segelintir memandang serong,
sebilangan lagi mencebik mual,
sedang dia terus menembokan muka,
demi pendapatan yang halal..

duduklah,
di atas tanah yang jujur,
bukan diatas kerusi yang mewah,
pasti pandangan mu cerah,
tidak lagi kabur,
atas keempukan kekuasaan,
dan kekayaan yang melimpah ruah,
bisa kamu membuka,
mata jiwa yang makin buta.